Tuesday 2 August 2016

PENGGUNAAN SISTEM IBS - KONTENA DI UMP

Penggunaan IBS di Universiti Malaysia Pahang.

Penyelidik UMP hasilkan projek pembangunan bilik pensyarah menggunakan kontena atau Modular Craft


Modular Craft adalah suatu inovasi di dalam sektor pembinaan yang boleh membawa kepada suatu revolusi di dalam menangani isu alam sekitar dewasa ini. Tujuan modular craft dibangunkan adalah untuk membawa konsep baru di dalam industri pembinaan, iaitu penggunaan kontena terpakai sebagai modul asas pembinaan bangunan.


Projek perintis Modular Craft ialah pembinaan 72 unit bilik pensyarah di Universiti Malaysia Pahang, Kampus Gambang. Projek ini adalah hasil usahasama kajian yang telah dilakukan oleh Syarikat Portland Group of Companies dengan sekumpulan penyelidik UMP yang diketuai oleh Profesor Dato’ Dr. Rosli Mohd Yunus dari Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli.


Konsep modular craft ini seboleh mungkin menggunapakai produk-produk mesra alam di dalam pembangunan projeknya. Dalam projek ini, modul asas bangunan adalah diperbuat daripada kontena terpakai yang telah diubahsuai dan ditambah baik, sesuai untuk kegunaan bilik pensyarah. Selain itu projek ini juga menggunakan produk G-Brick atau Green Brick bagi bahagian-bahagian yang memerlukan penggunaan batu bata. G-Brick adalah batu bata mesra alam yang dihasilkan juga oleh
penyelidik UMP . Projek ini dapat disiapkan dalam tempoh 5 bulan sahaja.


Bangunan ini juga menggunakan teknologi penggunaan sejenis lapisan kalis haba yang mampu mengurangkan suhu dalam kontena supaya ia sesuai untuk digunakan di negara-negara beriklim tropika seperti di Malaysia. Dengan lapisan kalis haba ini, suhu di dalam kontena dapat dikurangkan sehingga 8 ke 10 C berbanding suhu di persekitaran luar, tanpa penggunaan penghawa dingin dan lapisan tambahan di bahagian dinding dalaman. Projek ini juga telah mendapat akreditasi daripada agensi CIDB (Construction Industry Development Board) yang mengiktiraf produk ini sebagai salah satu sistem IBS (Industrialized Building System) di Malaysia.


Sumber :Laman web UMP

No comments:

Post a Comment